Wednesday 14 March 2012

Barah Hati Pembunuh Senyap

Barah Hati
Hepatocellular Carcinoma (HCC) atau barah hati meragut nyawa hampir 610,000 penduduk dunia setiap tahun. Ia menyerang lebih ramai lelaki, mencecah tiga kali berbanding wanita. Di Malaysia, barah hati adalah barah kelima paling biasa dihidapi lelaki, mencatatkan 5.7 kejadian bagi setiap 100,000 penduduk.

Penyakit ini biasanya dihidapi lelaki berusia 50 hingga 60 tahun terutama di beberapa bahagian benua Afrika dan Asia berbanding utara atau selatan Amerika dan Eropah.

Tidak seperti barah hati metastatik, HCC tidak bermula dari organ lain - seperti barah payu dara atau kolon - dan mula merebak ke hati. Dalam kebanyakan kes, punca biasanya adalah parut pada hati atau chirrhosis.

Chirrhosis boleh disebabkan oleh alkohol (penyebab utama di Amerika Syarikat), masalah auto imun, penyakit yang menyebabkan radang berpanjangan di hati, Hepatitis B atau C dan terlalu banyak iron dalam tubuh (hemochromatosis).

Pesakit yang menghidap Hepatitis B atau C berhadapan risiko mendapat barah hati walaupun tidak mengalami chirrhosis.

Barah hati sukar dirawat kerana kemoterapi biasa tidak berkesan. Ia hanya boleh dirawat jika dikesan di peringkat awal sebelum merebak dan jika pesakit cukup sihat untuk menjalani pembedahan.

Bagaimanapun pembedahan selalunya tidak dapat dilakukan kerana penyakit dikesan terlalu lewat disebabkan gejalanya yang hanya dilihat di peringkat lanjutan. Ramai pesakit meninggal dunia dalam masa setahun selepas diagnosis dan kerana itu juga barah hati dikenali sebagai pembunuh senyap.

Apabila seseorang disahkan menghidap HCC, jangkaan untuk rawatan yang berkesan agak tipis kerana hakikatnya hanya 10 hingga 20 peratus HCC yang boleh dibuang sepenuhnya menerusi pembedahan. Sekiranya barah tidak dapat dibuang sepenuhnya, penyakit ini biasanya boleh membawa maut dalam masa tiga hingga enam bulan.

Kelangsungan hidup berbeza mengikut pesakit dan dalam kes tertentu, jangka hayat pesakit boleh dilanjutkan sehingga enam bulan. Antara komplikasi yang dihadapi adalah pendarahan dalam perut, kegagalan hati dan merebaknya (metastasis) carcinoma.

Pakar Perunding Onkologi, Dr Matin Mellor Abdullah, berkata buat masa ini sorafenib adalah satu-satunya rawatan anti barah oral yang boleh didapati dan program NexPAP yang dilancarkan hasil kerjasama Bayer HealthCare dan Yayasan Hati Malaysia bertujuan membantu membawa perubahan ke dalam hidup pesakit dan keluarga mereka.

“Dengan pilihan rawatan berkesan seperti ubat sorafenib, kami boleh membantu membaiki peluang pesakit untuk hidup dan meringankan beban kewangan untuk kos rawatan,” katanya pada majlis meraikan peserta program bantuan pesakit NexPAP untuk rawatan barah hati `Raikan Peluang Kedua Dalam Hidup’ sempena Hari Bapa, baru-baru ini.

Sebagai satu-satunya ubat oral yang diluluskan Kementerian Kesihatan untuk merawat barah hati, sorafenib salah satu kelas baru terapi barah yang bertindak dengan mensasarkan dan menyekat protein isyarat dalam sel untuk menghentikan pertambahan sel tumor dan juga menyekat bekalan darah ke tumor.

Terapi dengan sasaran khusus ini ditujukan kepada sel barah dan boleh dikatakan tidak menjejaskan sel biasa.

HCC mungkin tidak dapat diubati namun ia boleh dicegah antaranya dengan merawat virus Hepatitis B yang mampu mengurangkan risiko. Mengikuti jadual vaksin Hepatitis B ketika kanak-kanak mampu mengurangkan risiko barah hati pada masa depan.

Elak pengambilan alkohol berlebihan, malah ada pesakit tertentu yang mendapat manfaat daripada ujian saringan hemochromatosis. Sekiranya anda mengalami hepatitis kronik atau chirrhosis, saringan dan pemeriksaan berkala dengan ultrasound hati atau dengan mengukur tahap alpha fetoprotein darah dapat membantu mengesan barah di peringkat awal.

Mereka yang mahu mengikuti Program NexPAP, boleh menghantar permohonan disertakan surat rujukan doktor kepada Yayasan Hati Malaysia. Maklumat lanjut Yayasan Hati Malaysia di talian 03-78426101.

INFO:

Antara simptom barah hati:


  • Hilang berat badan
  • Hilang selera makan
  • Terlalu kenyang walau makan sedikit
  • Ketulan keras sebelah kanan di bawah tulang rusuk
  • Sakit sekitar bahu kanan
  • Kuning kehijauan pada kulit dan mata (jaundice)
  • Kurang selesa, rengsa bahagian atas perut sebelah kanan
  • Kelesuan.

Tuesday 13 March 2012

Ujian Darah Awal Kehamilan

Memahami komplikasi dan alahan sepanjang kehamilan mungkin tidak terlalu sukar buat bakal ibu, suami, ahli keluarga dan rakan, tetapi apabila timbul isu perbezaan rhesus darah (Rh - faktor resus) antara si ibu dan anak, tidak ramai yang tahu jauh sekali memahaminya.

Mungkin sebahagian daripada puncanya kerana komplikasi perbezaan faktor Rh jarang berlaku. Ini kerana hampir 90 peratus perempuan Asia memiliki Rh positif, manakala hanya dua peratus perempuan Melayu dikesan memiliki Rh negatif.

Umumnya faktor Rh yang berbeza antara ibu dan anak dalam kandungan tidak menjadi persoalan untuk kehamilan yang pertama. Bagaimanapun apabila ibu hamil kali kedua atau ketiga dan seterusnya, perbezaan faktor Rh mula mendatangkan komplikasi kepada bayi, contohnya masalah kekurangan darah (anemia) yang teruk.

Jika rhesus darah ibu tidak sama dengan janin, beberapa masalah akan berlaku antaranya komplikasi pada bayi

Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan, Prof Madya Dr Shah Reza Johan Noor, berkata faktor rhesus merujuk protein khusus yang ditemui pada permukaan sel darah merah.

Jika darah anda memiliki protein, anda dikategorikan sebagai Rh positif - iaitu faktor rhesus yang sangat biasa ditemui dan jika permukaan darah kurang protein, anda dikategorikan sebagai Rh negatif. Walaupun faktor Rh tidak mengganggu kesihatan, ia menjejaskan kehamilan.

“Bagi wanita yang memiliki Rh negatif, manakala suami pula Rh positif, kehamilan memerlukan penjagaan yang khusus,” katanya.
Jelas Dr Shah Reza, jika ibu memiliki faktor Rh yang berbeza dengan anak dalam kandungan, antibodinya akan mengenal pasti protein Rh pada si anak sebagai ‘bendasing’ dan masuk ke dalam sistem aliran darah anak serta menyerangnya. Ini akan menyebabkan bengkak dan kemusnahan pada sel darah merah.

“Bakal ibu sepatutnya tahu bukan saja jenis darahnya tetapi faktor Rh darah itu. Secara umum, apabila anda hamil buat pertama kali, doktor akan menyarankan ujian faktor Rh. Ujian faktor Rh ini adalah ujian asas darah untuk mengetahui sama ada anda Rh positif atau negatif,” katanya.

Katanya lagi, faktor Rh penting sekiranya ibu hamil tidak mempunyai faktor terbabit tetapi suami pula mempunyai faktor Rh, berkemungkinan anak dalam kandungan juga akan memiliki faktor Rh positif. Kehadiran rhesus positif pada janin akan mencetuskan pembentukan antibodi oleh badan ibu.

Ketika proses melahirkan, sesetengah sel darah merah bayi akan bercampur dengan darah ibu. Masalah berlaku jika ibu memiliki Rh negatif dan bayi Rh positif. Tubuh akan menghasilkan antibodi Rh selepas terdedah kepada sel darah merah bayi.

Antibodi ini selalunya tidak mendatangkan masalah pada kehamilan pertama, namun untuk kehamilan seterusnya, antibodi Rh ibu akan menjejaskan plasenta dan menyerang sel darah merah si anak. Anak akan berhadapan penyakit berkaitan Rh seperti masalah kurang darah atau masalah serius lain.

Jika anda Rh negatif, mungkin memerlukan imbasan antibodi bagi mengesan antibodi terhadap darah Rh positif. Andai tiada antibodi dihasilkan, anda memerlukan suntikan Rh imun globulin (suntikan yang mengandungi antibodi dalam darah) bagi mencegah tubuh menghasilkan antibodi ketika hamil.

“Jika bayi anda Rh negatif, semua ini tidak diperlukan. Namun jika dia Rh positif, anda memerlukan suntikan lain sebaik bayi dilahirkan,” katanya.

Jelas Dr Shah Reza, apa yang dibimbangkan ialah jika isteri mempunyai Rh negatif dan suami pula Rh positif. Oleh kerana bayi adalah gabungan baka ayah dan ibu, badan ibu akan menghasilkan antibodi untuk ‘menolak’ bayi yang dianggap sebagai bahan asing, membolehkan ibu mengalami pendarahan sama ada sebelum atau selepas melahirkan anak.

Sistem darah ibu hamil akan mengenali sistem darah anak sebagai sistem asing dan seterusnya mencetuskan pembentukan antibodi yang akan melawan sel darah janin dan juga anak sejurus kelahiran. Akibatnya darah anak rosak serta berlaku pendarahan semasa dalam kandungan atau selepas kelahiran. Janin dalam kandungan juga mungkin gagal diselamatkan.

Sebab itulah pemeriksaan ultrasound penting semasa mengandung. Selepas kelahiran, ujian darah dilakukan pada anak.

“Menjadi amalan di Malaysia kumpulan darah serta faktor Rh ibu akan dikenal pasti semasa mereka hadir untuk pemeriksaan pertama kandungan,” katanya.

Mujur di negara kita, masalah rhesus darah bukan masalah kesihatan yang lazim dalam kalangan wanita hamil, namun ia tetap disaring serta dipantau kerana memberi kesan kepada kandungan dan juga anak yang baru dilahirkan. Penyaringan pada peringkat awal juga dibuat kerana sebarang masalah boleh diatasi pada peringkat awal pengesanan.

Jika pada peringkat awal kehamilan, si ibu dikesan berhadapan faktor Rh negatif, dia akan dipanggil untuk penyiasatan, runding cara lanjutan dan diberikan suntikan.

“Sekiranya suami mempunyai rhesus positif dan isteri rhesus negatif, kandungan pula kandungan sulung, maka pada minggu ke-28 kehamilan, ibu akan disuntik dengan ubat RhoGAM (anti D immunoglobulin).

“Jika ibu hamil untuk kali kedua dan semasa kandungan sulungnya tidak diketahui status rhesus atau tidak mendapat suntikan anti D, darahnya akan diambil dan diuji untuk kehadiran antibodi D, Anti D immunoglobulin tidak lagi diberikan. Ibu hamil itu akan diklasifikasi sebagai pesakit berisiko tinggi dan dipantau lebih teliti,” katanya.

Sebaik-baiknya jenis darah serta rhesus suami isteri perlu diketahui sebelum kehamilan. Sekiranya si isteri mempunyai rhesus negatif, perlu segera memberitahu doktor yang merawat terutama jika pernah berhadapan dengan masalah seperti berikut:


  • Pernah menerima transfusi darah. 
  • Kandungan sebelum ini gagal seperti keguguran atau di luar rahim. 
  • Pernah disuntik rhoGAM. 
  • Rhesus darah suami positif. 
  • Mendapat rawatan invasif perbidanan.

Monday 12 March 2012

Rahsia Awet Muda

Siapa yang tidak terganggu memikirkan usia semakin meningkat. Selain bentuk fizikal, kudrat juga semakin terhad. Cuba fikir sejenak, mahukah kita menjadi seorang tua yang lemah, tidak berdaya, cerewet, pelupa, rabun, tidak sihat dan lebih selesa bersendirian tatkala anak cucu datang menjenguk atau menjadi warga tua yang cergas, aktif, sihat dan gembira menempuh saat persaraan.

Definisi peningkatan usia yang dikaitkan dengan nombor tidak lagi relevan. Penuaan adalah proses semula jadi yang tidak boleh dielakkan, tetapi ia boleh dilengahkan. Pakar perubatan hari ini tidak lagi mentakrifkan tua berdasarkan umur biologi (angka), sebaliknya lebih melihat kepada tahap kesihatan seseorang.
Mengikut kajian, bilangan warga tua di Malaysia meningkat hampir 1.4 juta pada 2000 dan dijangkakan mencecah 3.4 juta menjelang 2020. Walaupun ini menunjukkan negara akan kebanjiran warga tua berbanding warga muda, ia bukan bermakna warga tua tidak mampu untuk menjadi lebih produktif.

Ramai tidak sedar banyak yang boleh dilakukan individu untuk kekal aktif dan sihat dalam meniti usia tua. Risiko dan beban penyakit kronik meningkat dengan pertambahan warga tua. Begitupun ia boleh dicegah sekiranya mengamalkan gaya hidup sihat, saringan kesihatan tahunan pada peringkat awal bagi mengesan penyakit dan melengahkan merebaknya penyakit dengan perubahan gaya hidup dan pengambilan makanan seimbang.

Perunding Perubatan Dalaman dan Geriatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Rajbans Singh, berkata dalam meniti usia tua, risiko mendapat penyakit kronik seperti kardiovaskular, diabetes, tekanan darah tinggi, dementia dan Alzheimer adalah tinggi selain penyakit berkaitan kesihatan mental, kanser dan pelbagai lagi.

“Mengesan awal, langkah pencegahan dan pengurusan penyakit lazim seperti darah tinggi dan diabetes mampu mengekalkan tahap kesihatan dan hidup berdikari. Menggalakkan warga tua aktif mental dan fizikal penting buat populasi yang semakin meningkat usia ini dengan mengamalkan pemakanan seimbang kerana ia mampu mengurangkan risiko sakit jantung, strok, diabetes jenis 2, masalah tulang, beberapa jenis barah dan anemia.
“Ramai warga tua berubah menjadi sangat memilih makanan, ada juga yang enggan mendengar nasihat doktor untuk mengamalkan pemakanan seimbang dan penuh nutrisi bagi memastikan terus sihat, cergas dan aktif,” katanya selepas perasmian Program Kesejahteraan Warga Tua di PPPC, baru-baru ini.

Masalah kesihatan paling lazim diterima ialah arthritis dan sakit sendi, sakit belakang, osteoporosis, masalah pendengaran, hilang penglihatan, hilang ingatan, tekanan, hilang stamina dan hilang selera.

Kebanyakan masalah ini boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat. Masalah berkaitan sakit sendi dan arthritis pula boleh dialihkan atau dilengahkan daripada merebak dengan ubat-ubatan.

Dr Rajbans turut mendedahkan, kini kajian saintifik menyeluruh dijalankan terhadap sel stem bagi menangguh atau melambatkan proses penuaan sel manusia secara semula jadi supaya mereka kekal kelihatan muda walaupun sudah berusia.

Kajian menunjukkan, menjelang 2050 warga tua atau populasi kelabu ini dijangka mencecah dua bilion dan 80 peratus daripada jumlah itu tinggal di negara membangun. Ini membuktikan paras lanjut usia penduduk juga semakin panjang dengan 80 peratus kematian berlaku ketika usia mencecah lebih 60 tahun.

“Sekiranya warga tua mampu mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan diri, mereka juga mampu memainkan peranan yang cukup efektif dalam membangunkan bangsa dan negara dengan berkongsi pengalaman, kepakaran, skil dan kebijaksanaan,” katanya.

INFO AWET MUDA

Petua kekal muda:


  • Lakukan senaman ringan setiap hari bergantung pada tahap kesihatan, untuk kekal cergas dengan memastikan fizikal dan mental sihat dan mandiri. Individu yang tidak aktif lebih mudah mendapat penyakit jantung berbanding mereka yang aktif
  • Elakkan terjatuh kerana ia boleh menyebabkan kecederaan, retak dan maut. Keretakan akibat terjatuh biasanya menjejaskan bahagian punggung, pelvik, tulang belakang dan lengan
  • Makan makanan rendah lemak, diet tinggi serat dan pastikan pemakanan seimbang seperti buah, sayur, bijirin dan kekacang
  • Dapatkan nasihat doktor sebelum melakukan sebarang senaman, diet atau makanan tambahan
  • Minum banyak air, berhenti merokok dan elak atau kurangkan alkohol
  • Kekalkan harga diri - bawa diri anda dengan penuh keyakinan dengan gaya berpakaian menarik, gaya rambut, menjaga penampilan wajah dengan melakukan penjagaan dan rawatan muka

Sunday 11 March 2012

Lesu Lelaki

Benarkah lelaki hanya berjumpa doktor sedangkan wanita sebaliknya lebih beruntung kerana kehamilan membawa mereka mendapatkan khidmat doktor seawal mungkin?

Andai itu benar, bagaimanakah kita mahu memanfaatkan usia selama mungkin, termasuk melakukan pelbagai aktiviti biarpun sudah mencecah usia atau bergelar warga emas? Ini penting kerana jika dulu, tugasan menjaga orang tua lazimnya di bahu keluarga atau anak-anak tetapi sekarang, berdasarkan perkembangan semasa, peranan itu turut diambil alih pihak kebajikan atau rumah orang tua berbayar bagi yang berkemampuan.

Malah, kebanyakan yang meniti usia tua terutama yang mempunyai status ekonomi yang kukuh, lebih memilih hidup berdikari, kekal efektif dan mahu menikmati hidup secara aktif hingga ke akhir hayat - senario yang digelar Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai tua secara aktif.
Malangnya, tidak ramai, khususnya lelaki yang mampu menepati konsep itu yang menurut Ketua Jabatan Urologi, Kesihatan Lelaki & Pembedahan Robotik, Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Sahabudin Raja Mohamed, sebagai keupayaan individu itu terus produktif.

“Mereka ini boleh diharap dan boleh terus menyumbang secara efektif kepada masyarakat keseluruhannya. Bagaimanapun, berdasarkan senario semasa, ramai masyarakat dunia pada masa ini lebih dihimpit permasalahan kesihatan yang meruncing.

“Disebabkan perubahan gaya hidup, masyarakat bukan saja cenderung untuk terlalu menikmati tetapi juga banyak makan hingga malas. Ramai tidak aktif kerana banyak menghabiskan masa duduk di depan komputer, kedai kopi, kelab, di depan TV dan terlalu sedikitnya aktiviti senaman yang membakar lemak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dr Sahabudin menyifatkan statistik perbandingan ini menunjukkan rakyat Malaysia tidak begitu sihat bukan saja dewasa tetapi juga generasi muda. Malah anak-anak yang duduk lama di depan komputer juga cenderung untuk kuat makan seperti makanan segera, kerana bosan atau juga tekanan.
Perkembangan itu, katanya, membawa kepada kemunculan golongan lelaki yang bukan saja tidak sihat, tetapi juga tidak subur dan terjejas kelelakiannya.

“Aktiviti yang ditekankan sesetengah ibu bapa - keluar membeli-belah, menonton wayang, mengamalkan makanan segera misalnya turut menyumbang kepada peningkatan ketidaksuburan dan masalah mati pucuk.

“Satu kajian di Malaysia juga menunjukkan 70 peratus lelaki berusia 50 tahun ke atas tidak aktif secara seksual. Mungkin ramai yang menganggap ‘pil ajaib’ adalah jawapannya namun, kita perlukan pendekatan menyeluruh termasuk faktor isteri, jenis diet, mengapa tidak bersenam dan perubahan gaya hidup yang perlu dibuat,” katanya.

Semakin meningkat usia seorang lelaki, mereka juga secara seksual semakin lemah, dan keadaan ini dipanggil andropause tetapi sebenarnya ia adalah perubahan akibat tahap hormon yang rendah. Hormon testosteron mengurangkan otot saiz, lebih lemak dan kurang otot, tulang menjadi lemah dan cenderung untuk mudah gemuk pada bahagian perut.

Mereka juga kebal insulin yang mana hati tidak dapat memanfaatkan insulin. Tahap kolesterol juga meningkat dan terus ke saluran darah menyebabkan tekanan darah tinggi. Disebabkan obesiti, tahap hormon cortisol meningkat dan merendahkan testosterone pada lelaki berusia 40 hingga 70 tahun. Malah, lebih 20 peratus lelaki di Malaysia mempunyai tahap testosterone rendah yang boleh menyebabkan diabetes, hipertensi, penyakit jantung, tulang retak selain mengurangkan keghairahan terhadap seks.

“Golongan lelaki ini juga mudah berasa letih, lesu dan penat yang melampau sehinggakan tiada tenaga untuk melakukan aktiviti. Waktu tengah hari sudah mengantuk, prestasi seks juga terganggu, mental tertekan hanya kerana testosterone rendah,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, kata Dr Sahabudin, penyelidikan lalu turut menunjukkan 70 peratus lelaki berusia lebih 50 tahun mengalami masalah mati pucuk atau Erectile Dysfuction (ED). Masalah ED adalah tanda-tanda awal terhadap masalah kesihatan lain seperti kencing manis dan hipertensi.

“Tatkala usia semakin meningkat, anda perlu faham berapa banyak tekanan yang boleh diterima oleh tubuh. Jadi pilihan untuk menikmati usia tua dalam keadaan cergas dan efektif terletak dalam tangan anda dan semuanya harus bermula dari amalan gaya hidup yang baik. Malah semua masalah kesihatan yang dinyatakan punya cara untuk mengubatinya hanya jika ia dikesan dan dirawat awal," katanya.

Saturday 10 March 2012

Bahaya Penyakit Tibi

ANTARA 1945 hingga 1957, batuk kering atau nama saintifik perubatannya, Tuberkulosis (tibi) menjadi penyakit paling digeruni masyarakat dan pembunuh No 1 negara ketika itu.

Senario waktu itu, berikutan ketiadaan penawar berkesan untuk mengubati wabak berkenaan, tibi akhirnya berleluasa menyerang orang ramai sehingga pesakit terpaksa dikuarantin bagi mengelak jangkitan lebih meluas.
Ramai alami simptom lengah jumpa pakar,
ada percaya terkena ilmu hitam hingga batuk makin kronik

Pada 1961, kerajaan memperkenalkan Program Kawalan Tibi Kebangsaan dan semua individu yang dikesan mempunyai tanda penyakit ini dirujuk ke Pusat Tibi Negara atau kini dikenali sebagai Institut Perubatan Respiratori (IPR), Jalan Pahang, Kuala Lumpur, untuk rawatan susulan.

Sejak itu, diperkukuhkan dengan kaedah bidang perubatan yang makin moden, tibi mula terkawal sehingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan Malaysia sebagai 'Negara Tibi Sederhana'.

Bagaimanapun, sejak 1955, kes baru tibi yang dilaporkan kembali meningkat dan membimbangkan setiap tahun. Pada 2000, sebanyak 15,051 kes direkodkan berbanding 10,873 kes pada 1990.

Terbaru, sehingga November lalu, kes tibi di seluruh negara bertambah kepada lebih 19,000 kes berbanding 16,000 kes beberapa tahun lalu.

Pengarah IPR, Datuk Dr Abdul Razak Muttalif, berkata sikap segelintir masyarakat yang terlalu taksub dengan amalan rawatan tradisional yang dikendalikan bomoh serta menganggap simptom tibi sebagai tanda terkena ilmu hitam, menjadi antara punca utama bilangan kes penyakit itu meningkat.

Kesedaran yang tinggi berhubung penyakit ini perlu ada dalam diri setiap penduduk Malaysia. Jadi, jika anda mengalami apa saja simptomnya, tolong segera bertemu pakar tibi sama ada di hospital swasta, kerajaan atau IPR. - Dr Abdul Razak Muttalif, Pengarah IPR

"Kebanyakan pesakit tibi dalam keadaan teruk yang datang kepada kita mengatakan pada awalnya, mereka menyangka masalah kesihatan seperti batuk berpanjangan lebih dua minggu; hilang selera makan; demam dan berpeluh pada waktu malam; susut berat badan serta batuk berdarah adalah disebabkan terkena buatan orang.

"Sangkaan ini menyebabkan mereka bertemu bomoh atau pengamal rawatan ilmu hitam untuk berubat. Namun, apabila penyakit dialami tidak sembuh dan semakin serius, barulah mereka berjumpa doktor pakar.

"Tempoh lama yang diambil menyebabkan masalah tibi dialami makin merebak dalam paru-paru," katanya ketika ditemui kolum Sihat di IPR, baru-baru ini.

Dr Abdul Razak berkata, antara punca utama lain menyebabkan peningkatan tibi adalah tindakan seseorang yang melengah-lengahkan waktu untuk bertemu pakar perubatan walaupun mengalami gejalanya.

Mereka lazimnya akan bertemu doktor di klinik biasa yang tidak mempunyai kepakaran khusus membabitkan tibi terlebih dulu, malah ada antara mereka yang berkunjung ke klinik berkenaan secara berulang.

Selepas mendapati penyakit masih tidak sembuh, mereka akan bertemu pakar di pusat perubatan swasta atau hospital kerajaan untuk rawatan susulan. Namun, kelewatan ini menyebabkan tibi makin merebak.

Dr Abdul Razak berkata, rekod menunjukkan ada pesakit yang sudah dikesan awal tetapi tidak mengikut nasihat perubatan disaran doktor. Menurutnya, pesakit terbabit tidak mengambil ubat secara teratur sepanjang tempoh rawatan, iaitu sekurang-kurangnya enam bulan lalu menyebabkan penyakit dialami bertambah teruk hingga terpaksa dikuarantin di IPR.

Beliau juga pernah berdepan kes di mana seorang pendatang asing tampil ke IPR selepas tidak bermaya untuk berjalan akibat dijangkiti tibi. Apabila ditanya mengapa tidak datang mendapatkan rawatan lebih awal, dia memberi alasan takut dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana tiada permit pekerjaan sah.

"Kesimpulannya, walaupun kaedah perubatan makin moden dan berkesan, punca utama yang menyebabkan semakin ramai penduduk Malaysia menghidap tibi adalah sikap melengah-lengahkan rawatan terbaik untuk penyakit itu.

"Justeru, kesedaran yang tinggi berhubung penyakit ini perlu ada dalam diri setiap penduduk Malaysia. Jadi, jika anda mengalami apa saja simptomnya, tolong segera bertemu pakar tibi sama ada di hospital swasta, kerajaan atau IPR.

"Sikap melewatkan rawatan tibi bukan saja memberi kesan yang makin buruk kepada kesihatan anda dan menyebabkan lebih ramai orang di sekeliling dijangkiti, tetapi juga menjejaskan perkembangan negara," katanya.

Menurut Dr Abdul Razak, setiap bayi yang lahir di negara ini sudah dibekalkan dengan suntikan vaksin Bacille Calmette Guerin (BCG) bagi membantu mencegah penyakit tibi. Namun, ia bergantung kepada keadaan antibodi, amalan kehidupan dan persekitaran ketika membesar.

Antara golongan berisiko tinggi menghidap tibi, katanya, adalah pesakit HIV; penghidap diabetes; perokok; banduan; individu berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 40 tahun; 60 tahun hingga 80 tahun; kerap berada di tempat sesak; berdepan dengan mereka yang tidak sihat serta pendatang asing.

Selain itu, katanya, di negara ini, sebanyak 90 peratus penduduk menghidapi 'Tibi Dalam Paru-Paru' yang masih boleh dirawat tanpa kesan sampingan. Manakala bakinya mengalami 'Tibi Luar Paru-Paru', iaitu kuman sudah merebak ke otak, jantung, tulang serta kelenjar, mengakibatkan pesakit akan menderita penyakit kronik lain walaupun tibi sembuh sepenuhnya.

Jadi, pengesanan dan rawatan dalam kadar paling awal mampu mengelak seseorang dijangkiti penyakit pada peringkat 'Tibi Luar Paru-Paru' yang mampu mengakibatkan kematian.

Dr Abdul Razak berkata, dari segi pengesanan penyakit, IPR akan menggunakan tiga kaedah iaitu pemeriksaan kahak, x-ray paru-paru dan ujian Mantoux (mencucuk jari) yang keputusannya sangat berkesan walaupun penyakit belum berada pada tahap kritikal.

Manakala, daripada segi perubatan, IPR akan membekalkan empat jenis antibiotik dikenali sebagai Respiratori Cripple yang perlu diambil dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan iaitu Rifampicin, Isoniazid, Pyrazinamide dan Ethambutol selain Vitamin 6.

Sementara itu, katanya, pada masa depan, IPR mensasarkan untuk mengurangkan kes baru tibi dan paling penting mengurangkan kadar korban akibat penyakit berkenaan yang kini mencapai lapan peratus, berikutan tibi bukan penyakit yang sepatutnya menyebabkan kematian.

"Bagi mengurangkan kes tibi, ia memerlukan kerjasama semua pihak seperti bertemu doktor secepat mungkin jika mengalami simptom serta memakai topeng mulut dan hidung dalam keadaan tertentu. Ini kerana penyakit ini, berjangkit melalui udara akibat batuk dan bersin.

“Doktor di klinik juga perlu memahami serta mempunyai kemahiran mengesan simptom sebenar tibi dan menasihatkan pesakit untuk bertemu pakar penyakit itu dengan segera, bukan hanya membekalkan ubat.

"Kerajaan juga perlu menambah doktor tibi di negara ini bagi memastikan proses rawatan terus berjalan lancar dan cepat. Ini kerana ketika ini, walaupun kaedah kawalan perubatan baik, jumlah pakar tibi sangat kurang," katanya.

INFO TIBI

Antara simptom Tibi:

  • Batuk berpanjangan (lebih dua minggu)
  • Hilang selera makan
  • Demam
  • Berpeluh waktu makan
  • Susut berat badan
  • Batuk berdarah


Golongan berisiko:

  • Pesakit HIV
  • Penghidap diabetes
  • Perokok
  • Banduan
  • Individu berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 40 tahun dan 60 tahun hingga 80 tahun
  • Kerap berada di tempat sesak
  • Berurusan atau berhampiran dengan mereka yang tidak sihat
  • Pendatang asing.


Kaedah cegah:

  • Jalani pemeriksaan kesihatan dengan pakar berkaitan penyakit tibi dengan segera apabila mengalami simptom
  • Gunakan topeng mulut dan hidung apabila berada di kawasan awam terutama apabila anda mengalami batuk atau selsema
  • Doktor di klinik awam perlu memahami serta mempunyai kemahiran mengesan simptom sebenar tibi dan menasihatkan pesakit bertemu pakar.


Friday 9 March 2012

Kawal Kolesterol Secara Semula Jadi

Diet makanan seimbang termasuk buah dan sayur
bantu mengawal tahap kolesterol
Penyakit jantung dan strok adalah dua masalah kesihatan serius yang berpunca daripada tahap kolesterol tinggi. Keadaan itu dikatakan berkait rapat dengan beberapa faktor seperti keturunan, diet pemakanan dan gaya hidup seseorang.

Bagi mengatasi kebimbangan seseorang berhubung risiko menghidap penyakit jantung dan strok, kajian terkini membuktikan sumber semula jadi juga dapat membantu merendahkan tahap kolesterol secara berkesan.

Kajian itu juga menunjukkan, ada empat produk berasaskan sumber semula jadi yang kini berada di pasaran mampu mengurangkan tahap kolesterol secara sihat dan efektif, tanpa kesan sampingan. Empat bahan itu adalah sterol tumbuhan (plant sterols), bijirin oat, serbuk minyak ikan Omega 3 dan Psyllium Husk.
Sterol tumbuhan yang turut dikenali Phytosterols atau Stanols adalah sebatian pada tumbuhan dan bersifat merendahkan tahap kolesterol. Malah, pengambilan produk itu akan menurunkan tahap kolesterol sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus.

Oat pula bijirin yang mengandungi serat larut dikenali ‘beta glukan’ yang terbukti merendahkan tahap kolesterol mereka yang mengamalkan pemakanannya.

Kandungan serat, karbohidrat kompleks dan protein yang tinggi itu turut membantu menstabilkan kadar glukos dalam darah.

Minyak ikan Omega 3 atau produk Omega 3 Fish Oil Powder pula adalah asid lemak yang penting bagi metabolisma normal kerana ia mengandungi Asid Lemak Tak Tepu (EPA) bagi mengurangkan inflamasi seluruh badan.
Produk ini juga sesuai untuk penghidap masalah kesihatan hipertrigliseridemia, kardiovaskular sekunder dan tekanan darah tinggi.

Selain itu, Persatuan Jantung Amerika mengesyorkan kepada pesakit jantung koronari supaya mengambil 1 gram minyak ikan seperti produk ini setiap hari.

Psyllium Husk pula secara lazimnya digunakan untuk menangani sembelit, sindrom sakit perut serta meningkatkan kemampuan dan mengekalkan otot usus.
Pada masa sama, penggunaannya mampu untuk menurunkan tahap kolesterol, mengawal diabetes dan mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.

Hasil kajian dijalankan The American Journal of Clinical Nutrition menunjukkan produk itu jika digunakan bersama bahan makanan, berkesan untuk mengurangkan glukosa dalam darah.